Sebuah blog berkaitan dengan Info Penting, Isu Semasa, Agama, Sejarah, Bisnes Online, Teknologi dan Kesihatan.

Pemuda PAS promosi ‘nikah gantung’ atasi masalah buang bayi

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen nikah khitbah atau nikah “gantung” — pasangan yang berkahwin tidak perlu tinggal bersama jika masih tidak mampu — sebagai salah satu cara mengatasi masalah membuang bayi. 

“Nikah khitbah atau nikah gantung ini kita anggap dapat selesaikan masalah sosial.

“Ia sama macam nikah biasa cuma pasangan tidak tinggal bersama selepas nikah atas sebab tertentu seperti tidak mampu atau masih belajar,” kata Ketuanya Nasrudin Hassan Al-Tantawi di sini.

Beliau menambah menariknya bagi mereka yang telah bernikah gantung ini ialah tidak perlu risau setelah terlanjur kerana sudah pun bernikah.

“Mereka boleh bergaul secara halal dan kalau mengandung pun tidak akan panik lalu membuang bayi,” kata beliau merujuk kepada masalah pembuangan bayi yang menjadi polemik sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun beliau berkata, nikah “gantung” ini dianjurkan untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas atau pelajar universiti dan bukannya seperti cadangan perkahwinan bawah umur yang dianjurkan Majlis Agama Islam Negeri Melaka.

Kes buang bayi dan masalah kehamilan luar nikah di kalangan pelajar semakin menjadi sehingga membuatkan pelbagai pihak memberikan pandangan bagi mengatasi masalah ini.

Kerajaan Negeri Melaka telah membenarkan perkahwinan awal bagi remaja bawah umur yang berkemampuan berkahwin serta menubuhkan sebuah sekolah khas untuk pelajar hamil.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merumuskan bahawa lebih 80 peratus mereka yang didakwa terlibat dalam kes pembuangan bayi terdiri daripada orang Melayu.

Malah 13 dari 65 kes sepanjang tahun ini telah pun masuk proses pendakwaan di mahkamah dan semua yang tertuduh adalah orang Melayu.

Sebanyak 67 kes direkodkan pada 2005, dan disusuli 83 kes pada tahun berikutnya, 76 (2007), 102 (2008) dan 79 (2009).

Selain itu Dewan Pemuda PAS juga mencadangkan agar kerajaan pusat menubuhkan segera Suruhanjaya Sosial Negara bagi menangani masalah kebejatan sosial di kalangan golongan negara ini.

Nasrudin berkata peranan suruhanjaya ini adalah selaras dengan perjuangan PAS iaitu mencegah kemungkaran dan gunakan cara Islam sebagai jalan penyelesaian.

“Suruhanjaya ini adalah untuk menangani perkara-perkara yang melibatkan penyakit sosial seperti dadah, jenayah, keruntuhan akhlak, masalah remaja, serta media massa yang sebahagiannya tidak bertanggungjawab menyiarkan cerita tidak sopan yang membawa kepada gejala sosial,” katanya.

Dewan Pemuda itu juga meminta kerajaan menilai penggunaan perundangan syariah sebagai alternatif usaha membanteras masalah sosial ini.

Nasrudin berkata perundangan syariah ini menggunakan kaedah menyeluruh dari segi pendidikan, kawalan pencegahan dan perlaksanaan, bukannya hanya tertumpu dari sudut hukuman semata-mata dan tidak memaksa penganut agama lain.

“Undang-undang dan peraturan syariah bukan semata-mata terhenti ke atas hukuman.

“Ia terlibat dalam kawalan, pencegahan dan sebagainya. Bagi bukan Muslim, kita serahkan kepada undang-undang agama mereka jika ada dan jika mereka nak ikut, tiada masalah,” ujar beliau.

Menurut Nasrudin PAS, akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam lain bagi mengadakan Konvensyen Sosial Negara pada November ini bagi mengeluarkan satu deklarasi mengenai masalah sosial di kalangan muda negara ini.





Tag : Isu semasa
0 Comments for "Pemuda PAS promosi ‘nikah gantung’ atasi masalah buang bayi"

Back To Top Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...