Sebuah blog berkaitan dengan Info Penting, Isu Semasa, Agama, Sejarah, Bisnes Online, Teknologi dan Kesihatan.

8 Maklumat yang tidak patut dikongsi dalam blog peribadi


Secara umumnya,sebuah blog adalah seperti jurnal atau diari. Penulis dapat menulis dan berbicara tentang pelbagai topik dalam blog mereka. Ramai yang menulis tentang pengalaman dan aktiviti seharian yang dilakukan samada menarik atau sebaliknya. Sekiranya penulis membuat blog untuk dilihat oleh orang lain,beberapa maklumat perlulah ditapis terlebih dahulu bagi mengelakkan salahguna maklumat pada masa hadapan.

 
Terdapat 8 maklumat yang tidak patut dikongsi dalam blog peribadi:


1.Nama penuh penulis,anak-anak, ahli keluarga dan binatang peliharaan.

Pencuri identiti (hacker) boleh menggunakan maklumat ini untuk untuk mencari katalaluan bagi memasuki laman web tertentu seperti  akaun email dan akaun bank. Sebahagian besar laman web yang mengandungi maklumat peribadi  mempunyai minima satu petunjuk kata laluan (password hint ) yang boleh digunakan sekiranya kita terlupa katalaluan tersebut. Apabila kita mendaftar dengan sesuatu laman web,kita diminta memilih soalan keselamatan seperti  nama haiwan peliharaan pertama anda? nama tengah ibu?nama anak yang pertama? dimana soalan ini akan ditanya apabila kita terlupa katalaluan. Pencuri identiti boleh menggunakan maklumat yang mereka dapat untuk mencari jawapan bagi soalan tersebut serta dapat mengakses laman web yang mereka inginkan.


2.Gambar peribadi penulis,anak-anak dan ahli keluarga.

Gambar peribadi dan boleh menimbulkan fitnah tidak perlu dikongsi dalam blog kerana ia boleh dilihat dan disalahguna oleh pengguna internet yang lain. Terdapat sebilangan pengguna internet yang menyalahgunakan gambar ini bagi memburukkan dan menfitnah individu tertentu. Ada juga yang menggunakan gambar ini bagi tujuan penipuan dengan mewujudkan identiti palsu dalam laman sosial seperti Facebook,Myspace dan Friendster. Selain itu,ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan gambar ini bagi tujuan pengiklanan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada kita. Bayangkan kalau gambar kita digunakan bagi tujuan mengiklankan minuman keras atau perjudian.

3.Maklumat kewangan

Maklumat kewangan yang dikongsi dalam blog boleh mendedahkan penulis dengan bahaya penipuan oleh pihak-pihak tertentu.  Banyak penipuan berlaku di internet di mana kita di tipu untuk melabur dalam skim-skim tertentu yang akhirnya mengakibatkan kita kerugian wang yang besar. Masalah kecurian dan rompakan juga boleh berlaku sekiranya maklumat kewangan dikongsi dan dibaca oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita dengan mudah menjadi sasaran pihak tersebut yang hanya menunggu masa untuk bertindak.

4.Maklumat tempat kerja

Berkongsi maklumat tempat kerja boleh menyebabkan seseorang itu dipecat sekiranya ia membabitkan maklumat rahsia sesuatu syarikat. Sekiranya tidak berpuas hati dengan majikan atau rakan sekerja,seeloknya ia tidak dikongsi dalam blog kerana kita tidak tahu siapa yang akan membaca apa yang kita tulis dan mungkin ia akan dibaca oleh majikan dan rakan sekerja di mana ia boleh memburukkan lagi keadaan. 

5.Alamat tempat tinggal dan nombor telefon

Maklumat ini sekiranya dikongsi boleh menyebabkan berlakunya gangguan daripada pihak tertentu. Selain itu,kita juga terdedah dengan jenayah yang berbahaya seperti kecurian atau lebih teruk lagi pembunuhan. Seeloknya maklumat ini hanya dikongsi dengan rakan yang rapat saja tanpa perlu dikongsi dan dibaca oleh pengguna lain di internet.

6.Email peribadi

Email juga selalunya digunakan oleh pencuri identiti untuk mengakses ke laman web tertentu. Adalah lebih baik sekiranya kita meletakkan email kedua dalam blog dan bukannya email peribadi kita. Ia juga dapat mengelakkan email peribadi kita dipenuhi oleh email daripada pihak yang tidak dikenali bagi tujuan penipuan atau tujuan lain.

7.Ke mana penulis akan pergi dan bila penulis akan sampai

Pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menggunakan maklumat ini untuk memecah masuk rumah penulis untuk melakukan rompakan kerana tahu penulis tidak berada di rumah. Aktiviti penculikan juga boleh terjadi sekiranya pihak tersebut tahu bahawa anak penulis tidak di jaga oleh sesiapa kerana penulis mungkin sedang keluar bekerja.  

8.Gambar tempat tinggal, tempat kerja ,kenderaan dan  no. plat kenderaan

Gambar-gambar ini boleh digunakan oleh pihak tertentu untuk mengetahui lokasi tempat tinggal penulis dan juga ke mana penulis pergi. Pihak tersebut akan mengekori penulis sehingga ke rumah atau tempat tertentu yang memungkinkan berlakunya jenayah yang tidak diingini.


Kebanyakkan maklumat ini tidak boleh dikongsi dalam blog walaupun blog tersebut dilindungi dan dikunjungi  teman-teman rapat saja bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini pada masa hadapan.


0 Comments for "8 Maklumat yang tidak patut dikongsi dalam blog peribadi"

Back To Top Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...