Sebuah blog berkaitan dengan Info Penting, Isu Semasa, Agama, Sejarah, Bisnes Online, Teknologi dan Kesihatan.

Malaysia Memerlukan Sehingga 60,000 Jurutera Setahun

SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia memerlukan antara 40,000 hingga 60,000 jurutera tempatan setahun bagi menampung pembangunan ekonomi dan keperluan pelabur asing yang membuka cawangan perniagaan mereka di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata buat masa ini Malaysia hanya mengeluarkan 20,000 jurutera tempatan setahun.

"Kekurangan jurutera ini adalah masalah global kerana lebih ramai anak muda pada hari ini lebih berminat dalam bidang guaman, akauntan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Samsung Senawang, di sini.

Beliau berkata kekurangan jurutera itu juga merupakan antara dua masalah utama yang dihadapi pelabur asing dalam sektor perkilangan di Malaysia.

Bagi menampung permintaan, Mustapa berkata kerajaan membenarkan pelabur membawa masuk jurutera asing khususnya dari Jepun, Korea Selatan serta India.

Ditanya sama ada masalah itu berpunca daripada pelajar Malaysia di luar negara enggan kembali berkhidmat di negara ini, beliau berkata isu tersebut biasanya membabitkan mereka yang belajar di Australia.

Di Korea Selatan misalnya, pelajar kejuruteraan Malaysia dibenarkan bekerja selama tiga tahun di negara itu sebelum balik ke tanah air, katanya.

Mustapa berkata pelabur asing khususnya di sektor perkilangan di negara ini juga menghadapi masalah tenaga kerja memandangkan anak tempatan tidak berminat menyertai sektor itu.

-- BERNAMA
ads
Tag : Isu semasa
1 Comments for "Malaysia Memerlukan Sehingga 60,000 Jurutera Setahun"

yeke? boleh masuk blog saya ni pasal jurutera gak blog saya

Back To Top Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...