Sebuah blog berkaitan dengan Info Penting, Isu Semasa, Agama, Sejarah, Bisnes Online, Teknologi dan Kesihatan.

Mentega 'Golden Churn' Disahkan Tidak Halal Oleh JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan mentega jenama 'Pure Creamery Butter-Golden Churn' yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.

Ketua Pengarahnya Othman Mustapha berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza dan untuk pasaran berbeza.

"Perkara ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand yang mengeluarkan produk itu. Sehubungan itu umat Islam seluruh negara diminta untuk tidak menggunakan produk tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu juga, Othman meminta pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal dari JAKIM atau jabatan agama Islam negeri yang telah menggunakan produk tersebut agar menukarnya kepada yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru.

Beliau berkata mereka juga perlu melakukan proses samak dengan disaksikan jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan samak.

Othman berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran. Pada 19 Julai lepas Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA (asid deoksiribonukleik) babi, menyebabkan industri makanan itu terjejas.



TERKINI - Hanya 'Pure Creamery Butter-Golden Churn' Keluaran New Zealand Tidak Halal - JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan hanya mentega jenama 'Pure Creamery Butter - Golden Churn Butter' keluaran syarikat Ballantyne Food Pty (New Zealand) tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan JAKIM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kimia Malaysia, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Agama Islam Sarawak serta Jabatan Agama Islam Johor pada 8 Ogos lepas.

Sehubungan itu, JAKIM menegur media yang menyiarkan maklumat atau memaparkan gambar produk selain keluaran syarikat beralamat di Allen Street Morrinsville 3340, New Zealand berkenaan, katanya dalam kenyataan Jumaat.

Pada 19 Julai lepas, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu, yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis, sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA babi, menyebabkan industri makanan berkenaan terjejas.

-- BERNAMA
ads
Tag : Isu semasa
0 Comments for "Mentega 'Golden Churn' Disahkan Tidak Halal Oleh JAKIM"

Back To Top Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...