Sebuah blog berkaitan dengan Info Penting, Isu Semasa, Agama, Sejarah, Bisnes Online, Teknologi dan Kesihatan.

ISA Dimansuh & Diganti Undang-undang Baru

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika perutusan khas sempena Hari Malaysia telah mengumumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuh dan diganti dua undang-undang baru yang akan digubal dibawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini. Tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan yang masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

Dalam perutusan tersebut, Najib menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan hak asasi sesiapa sahaja yang terbabit di bawah undang-undang baru itu nanti akan terus terpelihara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan juga member jaminan bahawa tiada individu akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Selain itu,kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Kajian tersebut akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Menurut Perdana Menteri lagi, Seksyen 27 Akta Polis 1967 juga akan dikaji semula dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

ads
Tag : Isu semasa
0 Comments for "ISA Dimansuh & Diganti Undang-undang Baru"

Back To Top Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...