Sebuah blog berkaitan dengan Info Penting, Isu Semasa, Agama, Sejarah, Bisnes Online, Teknologi dan Kesihatan.

Malaysia Tewas Kepada Jepun

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Malaysia tewas 0-2 kepada pasukan bola sepak Jepun dalam perlawanan pertama Kumpulan C Kelayakan Olimpik di Stadium Tosu, Fukuoka, Jepun Rabu malam.

Pasukan 'Samurai Biru', yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010 itu mengasak sejurus wisel permulaan oleh pengadil Abdullah Balideh dari Qatar.

Gerakan lincah penyerang Higashi Keigo membuahkan jaringan pertama seawal minit kesembilan yang berpunca lorongan bola daripada Kiyotake Hiroshi dalam kotak penalti.

Skuad kendalian Takashi Sekizuka yang terkenal dengan corak pantas dan aggresif itu terus menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus ke kawasan gol Malaysia, memaksa anak didik kendalian Ong Kim Swee bertahan sepanjang babak pertama.

Penyerang tiga serangkai Jepun, Hiroshi, Osaka Yuya dan Keigo menghasilkan beberapa gerakan berbahaya namun ketangkasan penjaga gol dan ketua pasukan Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat mematahkan serangan lawan.
 
Sepanjang babak pertama, hanya gerakan A. Tamil Arasu dan Abdul Shukur Jusoh yang menguji sedikit penjaga gawang Samurai Biru, Gonda Shuichi.

Penguasaan Jepun memaksa Ong Kim Swee membuat pertukaran dengan memasukkan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menggantikan Wan Zack Haikal Wan Nor yang cedera selepas dikasari pemain Jepun.

Selepas rehat, Malaysia hampir mendapat peluang menyamakan kedudukan menerusi percubaan pertama pemain sayap kiri, Mohamad Fandi Othman pada minit ke-50 tetapi digagalkan tiga pemain pertahanan pasukan lawan.

Bagi memperkukuhkan barisan serangan mereka, Jepun memasukkan ayam tambatan mereka, Nagai Kensuke dan Yamazaki Ryohei pada minit ke-56 dan strategi itu membuahkan hasil apabila hantaran lintang Kensuke dari sebelah kiri dirembat Ryohei pada minit ke-75 untuk gol yang kedua mereka.

Jaringan itu memberi tekanan buat pemain negara yang mula mengubah rentak serangan.

Bagaimanapun, benteng pertahanan negara agak leka dan kerap membuat kesilapan mudah yang hampir dihukum dengan satu lagi jaringan, namun Khairul Fahmi berjaya menyelamatkan keadaan sehinggalah wisel penamat.

Kali terakhir skuad Olimpik negara Bawah-23 tahun bertemu skuad Olimpik Jepun adalah pada pusingan pertama Sukan Asia Guangzhou 2010 yang menyaksikan Malaysia tunduk 0-2.

Selepas Jepun, Malaysia akan bertemu Syria pada 24 Nov di negara teluk itu dan kemudiannya bertemu pasukan Bahrain pada 27 Nov.

Skuad bola sepak kebangsaan pertama kali layak ke pusingan akhir temasya sukan terbesar dunia itu pada Sukan Olimpik Munich pada 1972 dan kali terakhir pada Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

Malaysia bagaimanapun tidak beraksi di Moscow kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada ketika itu.

Pada kelayakan Olimpik Beijing pada 2007, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Syria dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan.

-- BERNAMA
Tag : Isu semasa, Sukan
0 Comments for "Malaysia Tewas Kepada Jepun"

Back To Top Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...