Sebuah blog berkaitan dengan Info Penting, Isu Semasa, Agama, Sejarah, Bisnes Online, Teknologi dan Kesihatan.

Restoran Nasi Kandar Tidak Diminati Pekerja Tempatan

BUTTERWORTH, 6 Sept (Bernama) -- Hanya 200 pekerja tempatan berminat bekerja di restoran nasi kandar yang berdaftar di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) walaupun gaji yang ditawarkan agak lumayan.

Timbalan Presiden Presma K.K Sihabutheen berkata faktor malu berkemungkinan menjadi punca pekerja tempatan tidak mahu bekerja di restoran berkenaan.

"Mungkin mereka malu jika ada rakan dan saudara mara melihat mereka bekerja di restoran nasi kandar. Mereka lebih suka bekerja di restoran makanan segera," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Sharif.

Sihabutheen, yang juga Ketua Pegawai Operasi syarikat berkenaan, berkata kekurangan pekerja tempatan menyebabkan pengusaha restoran nasi kandar terpaksa menggaji pekerja asing dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Tahun lepas, Presma mengumumkan sebanyak 25,000 kerja kosong ditawarkan untuk rakyat tempatan dengan gaji yang agak tinggi namun ia tidak mendapat sambutan.

Presma menawarkan gaji RM1,500 hingga RM2,500 bagi jawatan penyelia dan tukang masak, manakala jawatan juruwang dan pembantu kedai pula masing-masing RM1,000 hingga RM1,300 dan RM800 hingga RM1,200 sebulan.

Mengenai harga makanan di restoran nasi kandar, beliau berkata walaupun terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang, pengusaha restoran akan berusaha memastikan harga dapat dikekal.

"Jika nak dibandingkan dengan restoran makanan segera, harga di restoran nasi kandar lebih murah," katanya.

Terdahulu, syarikat yang memiliki rangkaian 27 restoran Nasi Kandar Pelita di seluruh negara itu menyampaikan sumbangan hamper dan duit raya kepada 1,000 orang yang terdiri daripada pelajar sekolah, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya.

-- BERNAMA
ads
Tag : Isu semasa
0 Comments for "Restoran Nasi Kandar Tidak Diminati Pekerja Tempatan"

Back To Top Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...