Tuesday, December 13, 2011

Tuanku Abdul Halim Lafaz Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-14


KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah pada Selasa melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah dari 21 Jan 1970 hingga 20 Sept 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Okt lepas untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa Selasa, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada Isnin.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Merdeka pada 31 Ogos, 1957.

Istiadat ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 Nov lepas.

Upacara bermula pada 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim, yang memakai pakaian diRaja Kedah yang dikenali sebagai 'Sikap' yang terdiri daripada jaket pendek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hadapan Majlis Raja-Raja.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menjadi saksi.

Istiadat ini juga melibatkan upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Ia diikuti bacaan doa dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa yang ditetapkan.

Ini disusuli istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan tersebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Istiadat diteruskan dengan Sultan Muhammad V menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca pengisytiharan tersebut.

Istiadat ini dihadiri oleh Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Turut hadir kesemua empat Yang Dipertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua-ketua jabatan.

Istiadat yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 diakhiri dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Tuanku Abdul Halim kemudian menerima menghadap menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan yang diketuai oleh Najib di Bilik Seri Mahkota.

-- BERNAMA

0 comments :

Post a Comment

LePaK SiNi