Sebuah blog berkaitan dengan Info Penting, Isu Semasa, Agama, Sejarah, Bisnes Online, Teknologi dan Kesihatan.

Hukum Hudud Belum Sesuai Dilaksanakan Di Malaysia - TPM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hukum hudud masih belum sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.

Muhyiddin berkata, hukum Allah itu akan hanya dapat dilaksanakan sekiranya keadaan negara ini benar-benar kondusif dengan memastikan keamanan dan keadilan benar-benar wujud terlebih dahulu.

Beliau berkata sebagai negara berbilang bangsa, agama dan kepercayaan, Malaysia masih belum bersedia untuk memperkenalkan hukuman hudud seperti mana yang dilaungkan oleh pemimpin Pas.

"Pendirian kita (Umno) bahawa di Malaysia, kita tak boleh melaksanakan dalam situasi dan keadaan sekarang. Saya tak fikir dalam keadaan sekarang ia sesuai untuk dilaksanakan. Itu pandangan kita. Kita tak persoalkan nak melaksanakan hukum hudud," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga, di sini, Khamis.
 
Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berhasrat untuk terus melaksanakan hukum Hudud di Kelantan biarpun ditentang rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Muhyiddin berkata penjelasan dan pemahaman hukum itu perlu diperluaskan terlebih dahulu bagi memastikan semua rakyat di negara ini benar-benar memahami hukum tersebut.

"Saya sebagai seorang Islam saya tidak tolak hukum hudud. Itu sudah menjadi satu kenyataan dari segi hukum syarak tapi dari pelaksanaan itu menjadi pokok perbahasan hari ini. Kalau Nik Aziz kata nak laksanakan di Kelantan, itu soal dia," katanya.

-- BERNAMA


Iklan KlikJer

Tag : Isu semasa
Back To Top Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...